KUALA LUMPUR, 15 Julai – Penyelarasan harga barang yang diumumkan hari ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini dan diperuntukkan untuk sektor lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Ini termasuklah pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa semua pelajar yang mendapat 9A+ dan pelajar miskin yang layak mendapat biasiswa dan meningkatkan perbelanjaan untuk menyediakan kemudahan kesihatan seperti Klinik 1Malaysia, termasuk klinik bergerak 1Malaysia,” kata beliau.
Selain itu, kerajaan akan meneruskan Projek Penyeragaman Harga Barang Perlu di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban rakyat luar bandar, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Najib hari ini mengumumkan bahawa subsidi bahan api, khususnya petrol, diesel dan petroleum gas cecair (LPG), serta gula, akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat berkuat kuasa esok.
Katanya langkah itu diambil agar impaknya hanya minimum bagi individu keluarga tetapi memberi manfaat jangka panjang kepada negara.
“Pengurangan dalam perbelanjaan daripada perubahan ini akan membolehkan kita menggunakan dengan lebih baik sumber untuk keluarga, masyarakat dan pertumbuhan perniagaan,” katanya.
“Kerajaan telah membuat keputusan yang sukar tetapi berani. Dengan memilih untuk melaksanakan perubahan subsidi sederhana, kita telah mengambil langkah penting dalam landasan yang betul ke arah mencapai komitmen kita bagi mengurangkan defisit fiskal tanpa membebankan rakyat Malaysia.
“Langkah-langkah ini bagi membuktikan tanggungjawab fiskal kita. Ia akan meningkatkan kestabilan kewangan Malaysia, sementara ia juga melindungi rakyat,” katanya.
Ini menandakan permulaan pelaksanaan program rasionalisasi subsidi kerajaan yang banyak diperkatakan dalam usaha mengurangkan beban subsidi negara oleh kerajaan yang semakin meningkat, mengelak masalah penyeludupan dan menjadikan ekonomi negara lebih kompetitif.
Menurut Najib, penyelarasan harga bahan api dan gula ini adalah yang paling minimum berbanding dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana kerajaan mahu mengimbangi di antara kepentingan rakyat dan keperluan mengurangkan defisit negara.
Sebaliknya, beliau berkata subsidi bagi pelajaran dan kesihatan akan terus dipertahankan, dan walaupun berlaku penyelarasan, kerajaan masih lagi membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula.
Menurut beliau, keputusan ini dibuat kerajaan setelah mengadakan proses perundingan dengan rakyat, bukan hanya dengan pembuat dasar di Putrajaya, tetapi beribu-ribu rakyat Malaysia melalui Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, undian online, undian pesanan ringkas dan borang maklum balas menyatakan sokongan bagi menyemak semula pemberian subsidi secara berperingkat.
Najib berkata, pemberian subsidi perlu dikaji semula bagi mengelak herotan dalam dagangan dan memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak.
“Ia bagi memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak dan membolehkan banyak hasil negara digunakan untuk pelaburan yang akan memberikan faedah jangka panjang bagi keseluruhan rakyat.
“Keputusan untuk menyelaraskan harga minyak dan gula ini, khususnya diasaskan daripada tiga perkara penting, antaranya kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran, iaitu memberi faedah kepada pihak yang tidak layak seperti warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi.
“Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga kerana hampir dua kali ganda subsidi digunakan oleh sektor perniagaan.
“Selain itu, barangan yang bersubsidi tinggi, yang menjadikan ia paling murah di rantau ini, selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan,” kata Najib.
“Cara penggunaan bahan bakar dan gula juga perlu ditukar kerana penggunaan yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kerajaan melindungi alam sekitar.
“Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan,” kata Najib lagi.
